JALAN-JALAN CARI ILMU

BISMILLAH


PMS: PERHIMPUNAN MUSIM SEJUK

PUISI: PERHIMPUNAN UKHWAH INSANIYAH SELURUH IRELAND


La la la, la la la la la la la….ini lagu acapella dari Da’I nada, sejuta harapan yang popular di Mesir dengan nama Maly Robb Siwah. Lagu ini harmoni, bunyinya sedikit mendamaikan, menceritakan harapan hamba untuk bersama Tuhannya. Klise juga bukan ? tapi tak kisahlah, lagu ini indah, halwa telinga ramai pendengar. Sepatutnya sekarang saya membuat rumusan tentang program-program yang saya hadiri sepanjang dua minggu ini, apa pengajaran-pengajaran dan intipati yang telah saya dapat daripada PMS dan PUISI 2007. Tetapi hati saya memberontak malas, rasa cuma mahu membaca dan tidak menulis. Saya kuatkan hati melawan kehendak diri. Saya ingin menulis, saya ingin menulis...

PMS bermula dengan baik dan akhirnya juga baik. Pengisian yang sebenarnya penting untuk memperkasakan diri dalam mencari titik bermula untuk berubah. Itu rumusan yang dapat saya buat tentang keseluruhan kesan PMS kepada kefahaman saya. Tetapi barangkali kurang cukup memenuhi jeritan batin saya, yang seakannya mengharap sesuatu yang lebih bersifat matang dan global, menyentuh isu ummah sekarang. Saya menjangkakan PMS bakal sehebat tahun sebelumnya, memberi inspirasi kepada ramai sahabat saya untuk menongkah arus sendiri, mencari ruang menempatkan diri dalam masyarakat, berbakti. Tetapi saya sedikit hampa. Walaubagaimanapun, bukanlah kehendak hati saya yang utama, tetapi kesan secara umum kepada peserta. Memang ramai yang terkesan dengan tema PMS kali ini. CONTROL your whims, SHIFT your paradigm, ENTER a new beginning. Bagi yang mencari momentum untuk berubah, inilah program anda, anda akan jumpa sokongan yang sangat banyak dan rasanya tak rugi untuk pergi membina ukhwah, disamping mengingatkan diri sendiri kepada banyak-banyak perkara asas yang semakin dilupai. Cuma barangkali yang sangat membuatkan saya terkilan adalah ucapan ameer MSM sewaktu majlis penutup, butir-butir bicaranya sangat banyak membincangkan kebimbangannya bahawa remaja di luar Negara akan terjebak dengan gerakan ekstremist. Mungkin itu wajar menjadi satu kebimbangan, tetapi betulkah itu seharusnya menjadi tumpuan utama berbanding kebejatan gejala-gejala sosial lain ? jika benar kita mengambil berat tentang masa depan ummah, fikirkan sahaja…

PUISI tahun ini juga berbeza. Rasanya pada tahun ini pendekatan ustaz Hasrizal sangat lain, dan lebih relevan dengan keadaan diri saya sekarang. Apabila difikirkan semula, sebenarnya penilaian saya terhadap PMS dan PUISI adalah banyak dipengaruhi oleh keperluan saya secara mental dan ruhiyah. Persoalan ‘Apa ertinya saya menganut Islam’ sepertinya lebih berkesan dan penting untuk dibincangkan dalam suasana pemuda zaman sekarang yang menjaja ke sana sini nama Islam itu sendiri. Inilah persoalan yang saya sendiri tanyakan di dalam satu entri yang lepas. Pengupasan buku ini oleh ustaz memberi satu gambaran bahawa buku-buku tulisan ulama’ dari zaman yang berlainan sebenarnya masih boleh dijadikan rujukan, cuma kita harus sangat bijak untuk mengenal perbezaan-perbezaan suasana, tempat dan masyarakat dalam membuat analisis. Ustaz ada beberapa kali menyatakan kesukaran mengekstrak input-input daripada buku ini dan yang paling utama adalah penekanan terhadap kepentingan berfikir secara kritis dan tidak menerima sesuatu dengan membuta tuli. Saya paling terkesan dengan ceramah 6, iaitu Saya mestilah meyakini bahawa masa depan adalah milik Islam. Apabila kita bercakap tentang keyakinan kita terhadap masa depan Islam, apakah yang kita fikirkan ? Sistem khilafah ? inilah yang wajar kita fikirkan kembali secara telus terhadap diri kita tanpa menafikan kapasiti pemikiran rasional. Pendek kata, PUISI 07 banyak menjawab persoalan-persoalan yang bersarang dalam hati saya, secara tak langsungnya, membantu saya membuat keputusan-keputusan untuk menentukan hala tuju gerak saya seterusnya.

Kesimpulannya, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk pergi ke dua program ini. Berkenalan dengan ramai orang, belajar banyak perkara, merasai pelbagai suasana, semuanya menggambarkan kebesaran Tuhan yang menciptakan berserta kasih sayangNYA yang melimpah ruah...

1 comment:

zahratulhilal said...

salam muslihah.. terima kasih buat feedback kedua-dua program :) awak ade recordings untuk PUISI?