Titipan mesra


Sudah hampir 2 bulan saya tak meninggalkan pesan di blog ini. Bukan kerana kesibukan yang teramat, tetapi kerana keculasan saya untuk menulis dan berfikir dan menyusun kata-kata dan kemudian memeriksa tatabahasa. Saya usahakan juga untuk menepati tatabahasa yang betul, sebab saya juga ingin menjadi pencinta bahasa ibunda. Banyak yang berlaku dalam satu jangka masa ini. Banyak yang penting, meliputi ceramah-ceramah, aktiviti-aktiviti dan program-program yang saya hadiri. Yang lagi utama tentulah kelas-kelas seharian dan bacaan-bacaan saban malam yang mesti saya khatamkan. Semuanya pun penting. Tak terlupa juga 'chatting' yang telah berlangsung sama ada berbentuk nasihat ataupun senda gurau. Banyak benar yang berlaku dalam hidup kita. Setiap saat pada setiap jejak kaki. Tetapi saya kurang pasti, yang mana bakal membawa kebaikan pada saya atau bakal menjerumuskan saya kepada binasa, mohon dijauhkan Allah. Begitulah kita, hamba yang sering terlupa. Senang untuk saya katakan pada sahabat-sahabat untuk menjadikan seluruh hidup ini sebagai satu pengabdian tulus pada Allah, tetapi sangat sukar untuk diri saya sendiri laksanakan. Saya pernah bertanya pada diri sendiri, apa maknanya Islam pada diri Muslihah ? Bagaimana untuk saya yakinkan diri sendiri bahawa setiap tindakan setiap waktu ini pun sudah cukup untuk menjadi bekalan bertemu Allah jika saya mampu merasakan kehadiran Allah pada setiap ketika ?

No comments: