DEB- DASAR EKONOMI BARU YANG SEMAKIN LAPUK?


satu artikel yang baik utk di baca, mengupas ttg dasar utama perlaksanaan DEB, adakah sekadar ingin membangunkan ekonomi bangsa Melayu yang dilihat pada waktu itu (baca:pasca kemerdekaan) sangat terkebelakang , seperti yg di ajar kpd kita dalam teks sejarah ? wajarkah kita menyokong ketuanan Melayu di negara Malaysia ?
artikel dari Malaysia Today : http://malaysia-today.net/blog2006/index.php?itemid=3517

p/s :artikel tidak menggambarkan pendirian pemilik blog

31/03: DEB kesasar kerana budaya politik 'racist' kita
Category: General
Posted by: Raja Petra
Rustam Sani

Sewaktu Anwar Ibrahim ditemuramah Anand Naidu (mewakili Riz Khan) di saluran Al-Jazeera International baru-baru, suatu persoalan yang telah ditimbulkan ialah saranan Anwar sejak akhir-akhir ini supaya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dimansuhkan.Ini menunjukkan bahawa isu pemansuhan DEB itu tidak saja menarik perhatian di dalam negara ini tetapi juga pada tahap antarabangsa.Saya berpendapat bahawa langkah Anwar menjadikan persoalan itu salah satu isu politik yang akan ditekankannya merupakan satu langkah yang berani – malah boleh juga menjadi langkah yang dapat memudaratkan masa depan politiknya sendiri.Dilihat dari pelbagai segi, saya memang dapat bersetuju dengan sikap dan pandangan Anwar itu. Namun, dilihat dari segi suasana sosial dan budaya di negara ini kini, saya khuatir bahawa terdapat kemungkinan pandangannya itu akan disalah tanggap oleh kebanyakan orang.Lebih-lebih lagi pandangan yang demikian itu boleh dengan sengaja diputarbelitkan oleh musuh-musuh politik Anwar – atau oleh para “pawang spin” yang bekerja untuk mereka.Sebagai suatu dasar yang digubal dengan tujuan untuk membantu golongan Bumiputra yang terpinggir dalam arus ekonomi negara ini supaya dapat menyertai arus utama ekonomi, maka alasan untuk melancarkan DEB itu pada awal tahun 1970an itu mungkin kelihatan sebagai langkah yang wajar.Selain itu, perlu diingat bahawa dasar tersebut telah digubal, dan dilaksanakan, dalam suasana negara baru sahaja lepas menghadapi kancah sengketa kaum yang amat mencemaskan (1969) – sengketa yang dikatakan telah dicetus oleh peminggiran orang Melayu itu.Namun, suatu persoalan yang tidak pernah difikirkan hingga tuntas oleh para penggubal dasar itu ialah: Apakah penggubalan dan perlaksanaan dasar itu didasarkan pada gagasan keadilan atau gagasan perkauman (racial) – atau, lebih buruk lagi, atas asas ketuanan sesuatu kaum (racist).Terdapat perbezaan yang asasi antara pendekatan yang bersifat racial dengan pendekatan yang bersifat racist. Pendekatan racial berasaskan pada sikap bahawa bantuan terhadap sesuatu kelompok itu perlu diberikan kerana sesuatu kaum itu memerlukan suatu jenis sokongan tertentu – demi keadilan atau pembetulan sesuatu kesenjangan sejarah, misalnya.Tetapi dalam pendekatan yang bersifat racist, asas bagi langkah mengutamakan sesuatu kaum itu ialah andaian bahawa sesuatu kaum itu lebih tinggi martabadnya daripada kaum lain – atas asas pelbagai jenis mitos tentang “ketinggian” sesuatu kaum.Dalam kebangkitan ideologi neo-Nazi di Jerman sejak akhir-akhir ini, misalnya, para penyokong ideologi itu jelas mengancam nyawa kaum pendatang kulit bewarna (khususnya hitam) bukan kerana kedudukan orang putih terancam oleh penguasaan ekonomi kaum pendatang itu.Kaum pendatang itu dipinggirkan dan diancam semata-mata kerana segolongan orang putih yang bersikap racist ingin mempertahankan “kemurnian darah”nya yang kononya akan tercemar melalui percampuran mereka dengan orang hitam yang dipercayai lebih rendah martabadnya itu.Saya kira, ideologi “racist” yag sama jugalah yang telah mendorong seorang pemimpin kanan Pergerakan Pemuda Umno baru-baru ini, yakni sewaktu terbitnya kajian Asli yang menyatakan ekuiti Melayu kini telah mencapai 40 peratus, untuk menyatakan: “Mengapa kita perlu gusar tentang 18 peratus atau 40 peratus? Apa salahnya kita naikkan sahaja matalamat kita menjadi 80 peratus?”Jelas kelihatan di sini suatu sikap tentang “ketuanan bangsa saya” – “my race right or wrong.” Soal keadilan maupun kewajaran (decency) sama sekali tidak diendahkan di sini.Saya kira DEB yang didasari oleh pemikiran "racist" yang seperti inilah yang wajar kita perangi – sebagaimana yang disarankan oleh Anwar Ibrahim.Tambahan pula, perlaksanaan DEB yang didasarkan pada ideologi racisme seperti ini telah menghasilkan terlalu banyak kebobrokan sosial sampingannya di negara kita, antaranya kronisme, nepotisme, korupsi, rent-seeking, dan sebagainya –bukannya keseimbangan ekonomi antara kaum yang sebenarnya.Anwar malah telah menghuraikan sikapnya ini dengan baik apabila dia menyatakan bahawa dia ingin menggantikan DEB itu dengan suatu dasar yang dinamakannya Agenda Ekonomi Rakyat Malaysia: “ … dengan merangkanya dan melaksanakannya dengan telus dan bertanggugjawab (demi) memastikan kejayaan dan kemakmuran bangsa Melayu bersama-sama bangsa Cina, India dan komuniti-komuniti lain.”Manakala saya menyokong dan bersimpati dengan Anwar dalam menyarankan pemansuhan DEB ini, saya juga berharap beliau akan berjaya memperjelaskan sikapnya itu di kalangan masyarakat yang sudah begitu lama dan sudah begitu sebati diasuh dengan ideologi racisme yang agak tebal.Malah secara umumnya, pada hemat saya, itulah masalah utama yang perlu dihadapi oleh para pemimpin dan pemikir politik yang reformis orientasinya dalam masyarakat kita. Bagaimanakah akan kita dorongkan sikap membenci dan menentang rasuah, misalnya, sedangkan sebahagian besar rakyat negara ini hidup dalam suasana rasuah – dan berasa selesa.Bagaimanakah kita akan dapat mengajak mereka menentang suatu dasar yang berasaskan racisme, sedangkan mereka sendiri sudah begitu tebal sikap racismenya – sebagaimana kebanyakan rakyat negara ini?Saya malah mempunyai wasangka bahawa bukan para peggubal dan pelaksana DEB ini saja yang didorong oleh ideologi racisme yang tebal tetapi juga pihak yang menentangnya. Mereka menentang DEB bukanlah kerana ketidakadilan perlaksanaan dasar itu, tetapi tidak kurang juga kerana dasar itu kononnya memanfaatkan orang Melayu.Jika orang Melayu itu ketinggalan dan mundur dalam keadaan yang lain di sebuah negara lain, misalnya, maka para penentang DEB itu bukan sahaja tidak mengkritik dasar negara itu. Mereka malah memujinya sebagai dasar yang “adil” -- dan meletakkan segala kesalahan kepada orang Melayu sendiri, yang kononnya mempunyi sifat semulajadi (innate) yang tidak berdaya maju.Bagi saya, sikap dan pandangan yang demikian itu tidaklah kurang unsur racistnya berbanding dengan DEB itu sendiri.Kita perlu berusaha memansuhkan DEB, tetapi kita juga harus berusaha memusnahkan sikap dan mentaliti racist dari pemikiran dan budaya politik bangsa kita. Jika tidak, sebarang dasar yang bakal menggantikan DEB itu nanti hanya akan membawa kita ke lubuk kebobrokan yang sama juga.

No comments: