KELIMPAHAN KASIH SAYANG ?

Adik saya mengulangi aksinya kepada umi saya. Iklan di tv masih berlangsung. Iklan Fair n Lovely. Mungkin ini satu khidmat masyarakat juga. Satu cubaan mengembalikan kemesraan dalam rumah tangga masyarakat Malaysia yang suatu masa dulu gersang. Ya, suatu waktu dulu. Atau mungkin saya silap, ini cuma paparan satu babak kasih sayang daripada banyak-banyak babak yang boleh saya saksikan di kegelapan taman-taman bunga atau kesamaran jalan-jalan waktu senja. Sewaktu saya mengahadiri temuduga untuk masuk ke universiti, kasih sayang menjadi tajuk utama saya. Apabila ditanya kenapa saya memilih Ireland sebagai tempat pengajian, saya menjawab (dalam sedar atau tak ) bahawa saya tertarik dengan budaya ekspresi kasih sayang antara suami isteri warga tua di pulau itu. Panel-panel tergelak, saya tersengih. Rasanya seperti logik jawapan saya. Doktor pun harus ada perasaan yang dalam apabila menyebut tentang persoalan ini. Saya menyebut bahawa masyarakat Malaysia terutama Melayu jarang benar menonjolkan kasih sayang, terutama bagi pasangan suami isteri yang dah berumur. Secara umumnya, kita jarang menggunakan bahasa kasih sayang. Jarang bermesraan sesama ahli keluarga terutama di hadapan khalayak dan banyak lagi perkara tentang kasih sayang ini yang kita kadang-kadang lakukan. Tetapi, daripada sudut yang lain pula, kita dapat lihat bahawa generasi baru sangat terkehadapan dalam soal menyatakan rasa kasih sayang. Mana taknya, dalam iklan terbaru di kaca tv, seorang kanak-kanak sekolah rendah rancak bercerita tentang buah hatinya. Tak usah pergi jauh, lihat sekeliling kita sahaja. Elemen yang mana tidak menggalakkan percambahan satu nilai yang mulia ini ? Majalah, akhbar, drama, papan iklan dan segala macam lagi. Tetapi, alangkah sedihnya jika nilai ini disalah tafsirkan ke dalam masyarakat. Alangkah ruginya jika generasi baru ini silap mengertikan nilai kasih sayang ini. Mungkin salah tafsiran ini menjadi punca kepada kebejatan sosial yang kita hadapi lewat masa ini. Kasih sayang itu adakah batasannya ? jika ada, bagaimana memeliharanya di dalam ruang yang sepatutnya ? siapa yang mesti dikasihi , siapa pula yang boleh disayangi ? Kekaburan dan kekeliruan dalam memahami konteks kasih sayang bukanlah satu wabak yang terpencil, malah kian merebak hari demi hari. Iklan tersebut memang bagus, seperti kata umi saya,’ apa salahnya menonjolkan kasih sayang sesama suami isteri ?’. Tapi rasa meluat abah saya juga sepertinya wajar kerana kita sememangnya belum matang meskipun hanya untuk memahami konteks sebuah iklan...

MENJADI PATRIOTIK.

Sejak hari merdeka itu, saya rasa masih belum ada walau satu bingkisan hadiah Merdeka saya untuk Negara. Malah belum ada satu sumbangan yang saya benar-benar beri kepada Negara lagi. Saya memang ingin menjadi seorang yang patriotik sepertimana tokoh-tokoh negara kita dan tak kurang juga artis-artis tanah air kita (?). Saya memang sanjungi lagu-lagu patriotik kita, meskipun ada yang ditulis oleh bukan rakyat Malaysia. Tetapi hati saya memang tak boleh bertahan daripada mempersoalkan jiwa-jiwa Merdeka kita ini tiap kali melihat pakaian penyanyi lagu patriotik kita. Saya tak kisah jika mereka tidak mengenakan baju kurung sedondon sebab kita masih ada cheongsam atau sari. Tapi mata saya sakit sangat, apabila melihat penyanyi memakai gaun ketat hitam berkilat, atau tuxedo lengkap rebennya lagi waktu melaungkan kata-kata patriotik. Ini yang dipanggil hipokrit atau kekurangan tajaan pakaian tradisional ? – saya menghalang diri daripada menjawab. Daripada konteks seorang muslim pula, lagi-lagi kita perlu bersifat patriotik. Perlu mencintai tanah air sendiri, kerana jiwa sebegitu adalah jiwa pahlawan. Dan sememangnya muslim adalah keturunan pahlawan sejak berzaman. Tanah ini tempat kita menadah Ilmu-ilmu kita, tanah ini juga pernah menjadi pusat penyebaran Islam. Jangan kita sempitkan skop pemahaman kita, tanah air ini akan kekal menjadi nusa kita sampai bila-bila tanpa mengurangkan sedikit pun rasa cinta kita pada tanah-tanah di mana Islam bertapak. Jiwa muslim itu besar, maka besar juga sepatutnya cinta kita pada tanah-tanah air kita dan saudara kita. Kita akan memelihara, memulihara dan menyemai benih-benih keamanan di sini, kerana ini nusa kita. Biar siapa pun yang berada di dalamnya, kita kasihi semuanya kerana kita adalah muslim yang sentiasa adil. Apa yang kita bela adalah kedaulatan Negara tempat berpijak, yang sama sekali berbeza dengan pemerintah. Sifat patriotik adalah sama sekali berbeza dengan idea chauvinisma dan nasionalisma. Itu yang harus kita fahami, supaya kita tidak lagi tertinggal dalam melaksanakan amanah kita. Kita muslim yang sentiasa bersifat holistik, dan sifat patriotik itu mesti wujud dalam jiwa kerana selarinya dengan tuntutan syara’. Saya sanjungi jerih penat tokoh-tokoh negara kita, semuanya sekali walaupun mereka hanya memanjatkan seuntai doa untuk kemerdekaan . Saya kenangi jasa-jasa mereka datuk, nenek, moyang dan berterima kasih kerana memberi saya peluang untuk mengisi kemerdekaan ini. Walaupun sejarah itu sering mengelirukan saya dan rumit apabila ingin didalami, saya memahami bahawa memang sentiasa ada yang keduanya dalam pentafsiran. Siapa yang ingin mempertahankan kebenaran tindakan pendekar Tuah atau siapa pula yang ingin membela nasib Jebat jika benar teraniaya ? Ini cuma satu contoh paling mudah untuk menceritakan tentang sejarah. Dulu, kini dan hari depan, pandangan kita jadi berbeza. Sejarah itu letaknya pada tindakan kita di hari depan. Seharusnya pejuang Islam sejati turut menjadi pemelihara kedaulatan negara dan pencinta terulung sejarah kita .

Bentuk atau tujuan ?

Bergaduh dua tiga kali dengan seorang teman tentang satu perkara memang merunsingkan. Kita jadi berfikir setiap masa, waktu makan, waktu menonton Wanita Hari ini, waktu melayan hamster. Perkara yang sama berlegar-legar di fikiran, betulkah usrah itu bukannya medan untuk melahirkan intelektual ? apabila saya menyebut intelektual di sini, bukanlah maknanya melahirkan personaliti seperti Mahathir, Anwar, Engku Aziz dan Syed Hussein Al-Attas (tapi jika itu berlaku, maka sangat bagus). Saya cuma maksudkan usrah itu sebagai satu medan melahirkan muslim yang celik akal, adil dalam melakukan taakulan dan cergas dalam tindakan. Itupun jika nak dinilai maksud intelektual daripada kefahaman saya. Mengapa tidak , usrah sudah lama sebati dengan ahli gerakan Islam, usrah itu wujud kini sebagai satu entiti yang amat mesra dengan jiwa orang yang mendokong kebangkitan Islam. Sedangkan masa kini pula menuntut kita untuk punyai lebih daripada sekadar semangat dan kefahaman Islam. Dunia perlukan muslim yang aktif, fizikalnya, akalnya, jiwanya dan agamanya. Usrah secara sempurnanya pada kefahaman saya, berfungsi sebagai gelanggang pertama untuk beraksi mengenali kehidupan muslim secara holistik. Mungkin saya yang berfikiran ideal dan tidak berpijak di bumi nyata atau mungkin teman saya itu yang bersikap pesimis. Mungkin juga antara kedua-dua kami, persoalan ini tak seharusnya muncul sebab terlalu kompleks. Lebih baik dibiarkan usrah seperti yang ada sekarang ini katanya. Mungkin juga sebab dunia kami ini terpisah oleh lautan. Dia di Malaysia, saya di Dublin, suasana, waqi’ berlainan dah cukup untuk mengelirukan kami tentang hakikat perbincangan kami. Kami melihat usrah pada satah berbeza, dari perspektif berlainan. Apapun, saya terfikir tentang dunia sekarang dengan wujudnya emel , ym dan sistem pesanan ringkas sebagai wadah komunikasi, sedangkan dulu, surat dan telefon yang menjadi pilihan. Apakah usrah itu wujud pada bentuk atau tujuan ?

GARAM DAN KEMASINAN

'Terpengaruh itu bukanlah kesan daripada pembacaan atau ’tahu’ semata-mata, ibaratnya masin bukanlah kesan daripada garam sahaja. Malah serasanya sebab yang lebih tepat adalah ’ketiadaan daya berfikir’ dan keputusan akal kita. Sebagaimana rasa masin itu adalah dari prosesan dan keputusan deria rasa di lidah kita.'


Saya tak tahu apa yang perlu saya fikirkan apabila ada seorang kenalan mencadangkan supaya saya tidak membaca sesetengah blog yang katanya mampu mempengaruhi pemikiran dan penilaian saya. Fikir logik, fikir rasional... Apa yang bakal saya temui ? apa yang bakal mempengaruhi saya ? seakan-akan cadangannya itu bermaksud sebenar untuk menyuruh saya membacanya. Itu perasaan saya, ingin tahu yang meluap-luap. Tapi saya yakin, perkara yang sama bukan sahaja berlaku pada saya atau pada situasi saya sahaja, bahkan ini fenomena biasa di kalangan anak-anak melayu. Saya tidak bercakap tentang perasaan ingin tahu, tapi sikap ketakterbukaan kita dalam sesetengah perkara. Kita diajar untuk menjauhi orang tertentu, melupakan sesetengah peristiwa dan mengelakkan daripada mengetahui dan menyelidik perkara tertentu. Sebut sahaja tentang bible, Syiah, liberalisme, 13 Mei 1969, identiti bangsa Melayu dan seumpamanya , kita sendiri akan faham bahawa ini bukanlah arena yang perlu kita terjuni. Entah apa yang menyebabkan kita begitu takut untuk tahu atau lebih tepat, kita gerun terhadap kemungkinan yang kita akan terpengaruh. Terpengaruh ? Terpengaruh itu bukanlah kesan daripada pembacaan atau ’tahu’ semata-mata, ibaratnya masin bukanlah kesan daripada garam sahaja. Malah serasanya sebab yang lebih tepat adalah ’ketiadaan daya berfikir’ dan keputusan akal kita. Sebagaimana rasa masin itu adalah dari prosesan dan keputusan deria rasa di lidah kita. Memang kita jarang berfikir, jarang bersoal jawab, sebab semuanya sudah disuapkan ke mulut. Berfikir itu jadi satu proses yang rumit dan sebolehnya kita elakkan minda daripada isu-isu besar. Kalau tak percaya, bilang saja program hiburan di tv, tengok saja percambahan program mencari bakat nyanyian. Saya memang tidak menipu, tak perlu fikir pun anda boleh tahu. Siapa yang hendak disalahkan ? sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan atau sikap tidak cakna kita kepada kebenaran ? – fikirkan sendiri. Selagi mana budaya berfikir tidak diterapkan ke dalam masyarakat, selama itulah kita akan dibelenggu ketakutan terhadap pengaruh anasir-anasir dan isme-isme luar. Ini berbahaya, itu menyesatkan... Globalisasi sama sekali tidak memberikan kelebihan kepada sesiapa pun untuk menapis semua maklumat. Sudah tiba masanya setiap individu bertanggungjawab terhadap minda dan pemikiran sendiri, bukan lagi bergantung harap pada kerajaan, universiti atau pihak tertentu untuk memeliharanya. Mungkin buat masa ini kita masih punya ramai ilmuan untuk berfikir dan memaklumkan kepada masyarakat segala yang betul, silap, terpesong dan songsang . Tetapi adakah kita selesa dan yakini masa depan akan tetap menyebelahi kita ? Justeru, berfikir dan bentuklah pemikiran, kerana itu sahaja kelihatannya jalan keluar bagi muslim daripada kemelut kejatuhan hari ini. Dalami seni berfikir serta jadikan Quran dan Sunnah sebagai acuan kepada pemikiran kita.

Merdeka yang kali ini, mendungnya tetap ada...

Di kejauhan, saya masih lagi dibayangi oleh tulisan Fathi Aris Omar; ‘Di Bawah Mendung Usrah’. Saban waktu saya masih lagi memikirkan tentang perkara yang sama walaupun dah berbulan-bulan saya berkenalan dengan artikel ini. Secara jelasnya, idea yang disampaikan dalam artikel yang satu ini, bukanlah sesuatu yang asing bagi saya. Bagai ada suara-suara dalam diri saya, sebahagiannya memang mengakui kejujuran sesetengah penilaian kami. Dalam beberapa minggu ini, saya masih lagi dalam proses mengenali dan barangkali mematangkan pemikiran yang kian kusam rasanya. Setahun tanpa pengisian yang mencabar benak (saya salahkan kegagalan saya mengimbangi masa untuk membaca berita setiap hari ), memang setahun yang mendungukan. Itu satu keputusan atau kesimpulan yang boleh saya ambil jika mahu, tapi saya lebih senang jika terus menjadikannya satu sejarah yang peranannya bukan pada kewujudan peristiwa tapi penerimaan teladan dan pengajaran . Baiklah, pada sesi yang kali ini kita akan melihat pada satu situasi yang benar-benar berlaku. Sedikit daripada hasrat saya adalah untuk mengetengahkan satu sikap yang telah sebati dalam diri kita orang melayu Islam seperti sebatinya nila dalam susu. Perkara ini telahpun di sampaikan oleh Mohammad Hj Salleh dalam sajaknya ‚’Si Tenggang’s Homecoming’.

Dalam sebuah ’pertemuan’ , satu dialog telah berlaku antara kami beberapa orang. Saya tuliskannya di sini, tapi ini berdasarkan ingatan saya tentunya.

Fasilitator : antara sebab-sebab kenapa Firaun ni sombong dengan Allah adalah dirinya yang kebal daripada penyakit. Dia ni tak pernah sakit, sebab tulah dia boleh menganggap dirinya tuhan. Kalau orang yang pernah sakit, akan ada pergantungan pada tuhan walaupun bukan kepada Allah secara khusus.

Teman 1 : err, maaf. Tapi macam mana yang akak tahu firaun ni tak pernah sakit ?

Fasilitator : yalah, kalau dia pernah sakit, takkanlah dia boleh mengaku dirinya tuhan. Tuhan mana boleh sakit. Hmm... kesombongan Firaun ni memang tiada taranya lagi.

Teman 2 : (dalam hati ) tapi masa aku pergi melawat mumia firaun hari tu, firaun yang Ramses II ni banyak penyakit. Rhematoid arthitis dan banyak lagi. Serious tooth decay pun ada, takkan tak pernah sakit pula...

Agaknya apa yang boleh kita simpulkan dari sini ? sakit gigi itu penyakit dari zaman lampau ? Harapannya semoga kita juga telah matang untuk menilai sikap kita dalam hal ini. Saya bawakan satu stanza ( apa perkataannya dalam bahasa kebangsaan kita ?) daripada Si Tenggang’s Homecoming sebagai penutup.

I’ve learnt
The ways of the rude
To hold reality in a new logic,
Debate with hard and loud facts.
But I too am humble, respecting
Man and life.
SALAM MERDEKA SEMUA...