GARAM DAN KEMASINAN

'Terpengaruh itu bukanlah kesan daripada pembacaan atau ’tahu’ semata-mata, ibaratnya masin bukanlah kesan daripada garam sahaja. Malah serasanya sebab yang lebih tepat adalah ’ketiadaan daya berfikir’ dan keputusan akal kita. Sebagaimana rasa masin itu adalah dari prosesan dan keputusan deria rasa di lidah kita.'


Saya tak tahu apa yang perlu saya fikirkan apabila ada seorang kenalan mencadangkan supaya saya tidak membaca sesetengah blog yang katanya mampu mempengaruhi pemikiran dan penilaian saya. Fikir logik, fikir rasional... Apa yang bakal saya temui ? apa yang bakal mempengaruhi saya ? seakan-akan cadangannya itu bermaksud sebenar untuk menyuruh saya membacanya. Itu perasaan saya, ingin tahu yang meluap-luap. Tapi saya yakin, perkara yang sama bukan sahaja berlaku pada saya atau pada situasi saya sahaja, bahkan ini fenomena biasa di kalangan anak-anak melayu. Saya tidak bercakap tentang perasaan ingin tahu, tapi sikap ketakterbukaan kita dalam sesetengah perkara. Kita diajar untuk menjauhi orang tertentu, melupakan sesetengah peristiwa dan mengelakkan daripada mengetahui dan menyelidik perkara tertentu. Sebut sahaja tentang bible, Syiah, liberalisme, 13 Mei 1969, identiti bangsa Melayu dan seumpamanya , kita sendiri akan faham bahawa ini bukanlah arena yang perlu kita terjuni. Entah apa yang menyebabkan kita begitu takut untuk tahu atau lebih tepat, kita gerun terhadap kemungkinan yang kita akan terpengaruh. Terpengaruh ? Terpengaruh itu bukanlah kesan daripada pembacaan atau ’tahu’ semata-mata, ibaratnya masin bukanlah kesan daripada garam sahaja. Malah serasanya sebab yang lebih tepat adalah ’ketiadaan daya berfikir’ dan keputusan akal kita. Sebagaimana rasa masin itu adalah dari prosesan dan keputusan deria rasa di lidah kita. Memang kita jarang berfikir, jarang bersoal jawab, sebab semuanya sudah disuapkan ke mulut. Berfikir itu jadi satu proses yang rumit dan sebolehnya kita elakkan minda daripada isu-isu besar. Kalau tak percaya, bilang saja program hiburan di tv, tengok saja percambahan program mencari bakat nyanyian. Saya memang tidak menipu, tak perlu fikir pun anda boleh tahu. Siapa yang hendak disalahkan ? sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan atau sikap tidak cakna kita kepada kebenaran ? – fikirkan sendiri. Selagi mana budaya berfikir tidak diterapkan ke dalam masyarakat, selama itulah kita akan dibelenggu ketakutan terhadap pengaruh anasir-anasir dan isme-isme luar. Ini berbahaya, itu menyesatkan... Globalisasi sama sekali tidak memberikan kelebihan kepada sesiapa pun untuk menapis semua maklumat. Sudah tiba masanya setiap individu bertanggungjawab terhadap minda dan pemikiran sendiri, bukan lagi bergantung harap pada kerajaan, universiti atau pihak tertentu untuk memeliharanya. Mungkin buat masa ini kita masih punya ramai ilmuan untuk berfikir dan memaklumkan kepada masyarakat segala yang betul, silap, terpesong dan songsang . Tetapi adakah kita selesa dan yakini masa depan akan tetap menyebelahi kita ? Justeru, berfikir dan bentuklah pemikiran, kerana itu sahaja kelihatannya jalan keluar bagi muslim daripada kemelut kejatuhan hari ini. Dalami seni berfikir serta jadikan Quran dan Sunnah sebagai acuan kepada pemikiran kita.

No comments: