Sejak hari merdeka itu, saya rasa masih belum ada walau satu bingkisan hadiah Merdeka saya untuk Negara. Malah belum ada satu sumbangan yang saya benar-benar beri kepada Negara lagi. Saya memang ingin menjadi seorang yang patriotik sepertimana tokoh-tokoh negara kita dan tak kurang juga artis-artis tanah air kita (?). Saya memang sanjungi lagu-lagu patriotik kita, meskipun ada yang ditulis oleh bukan rakyat Malaysia. Tetapi hati saya memang tak boleh bertahan daripada mempersoalkan jiwa-jiwa Merdeka kita ini tiap kali melihat pakaian penyanyi lagu patriotik kita. Saya tak kisah jika mereka tidak mengenakan baju kurung sedondon sebab kita masih ada cheongsam atau sari. Tapi mata saya sakit sangat, apabila melihat penyanyi memakai gaun ketat hitam berkilat, atau tuxedo lengkap rebennya lagi waktu melaungkan kata-kata patriotik. Ini yang dipanggil hipokrit atau kekurangan tajaan pakaian tradisional ? – saya menghalang diri daripada menjawab. Daripada konteks seorang muslim pula, lagi-lagi kita perlu bersifat patriotik. Perlu mencintai tanah air sendiri, kerana jiwa sebegitu adalah jiwa pahlawan. Dan sememangnya muslim adalah keturunan pahlawan sejak berzaman. Tanah ini tempat kita menadah Ilmu-ilmu kita, tanah ini juga pernah menjadi pusat penyebaran Islam. Jangan kita sempitkan skop pemahaman kita, tanah air ini akan kekal menjadi nusa kita sampai bila-bila tanpa mengurangkan sedikit pun rasa cinta kita pada tanah-tanah di mana Islam bertapak. Jiwa muslim itu besar, maka besar juga sepatutnya cinta kita pada tanah-tanah air kita dan saudara kita. Kita akan memelihara, memulihara dan menyemai benih-benih keamanan di sini, kerana ini nusa kita. Biar siapa pun yang berada di dalamnya, kita kasihi semuanya kerana kita adalah muslim yang sentiasa adil. Apa yang kita bela adalah kedaulatan Negara tempat berpijak, yang sama sekali berbeza dengan pemerintah. Sifat patriotik adalah sama sekali berbeza dengan idea chauvinisma dan nasionalisma. Itu yang harus kita fahami, supaya kita tidak lagi tertinggal dalam melaksanakan amanah kita. Kita muslim yang sentiasa bersifat holistik, dan sifat patriotik itu mesti wujud dalam jiwa kerana selarinya dengan tuntutan syara’. Saya sanjungi jerih penat tokoh-tokoh negara kita, semuanya sekali walaupun mereka hanya memanjatkan seuntai doa untuk kemerdekaan . Saya kenangi jasa-jasa mereka datuk, nenek, moyang dan berterima kasih kerana memberi saya peluang untuk mengisi kemerdekaan ini. Walaupun sejarah itu sering mengelirukan saya dan rumit apabila ingin didalami, saya memahami bahawa memang sentiasa ada yang keduanya dalam pentafsiran. Siapa yang ingin mempertahankan kebenaran tindakan pendekar Tuah atau siapa pula yang ingin membela nasib Jebat jika benar teraniaya ? Ini cuma satu contoh paling mudah untuk menceritakan tentang sejarah. Dulu, kini dan hari depan, pandangan kita jadi berbeza. Sejarah itu letaknya pada tindakan kita di hari depan. Seharusnya pejuang Islam sejati turut menjadi pemelihara kedaulatan negara dan pencinta terulung sejarah kita .
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment