KELIMPAHAN KASIH SAYANG ?

Adik saya mengulangi aksinya kepada umi saya. Iklan di tv masih berlangsung. Iklan Fair n Lovely. Mungkin ini satu khidmat masyarakat juga. Satu cubaan mengembalikan kemesraan dalam rumah tangga masyarakat Malaysia yang suatu masa dulu gersang. Ya, suatu waktu dulu. Atau mungkin saya silap, ini cuma paparan satu babak kasih sayang daripada banyak-banyak babak yang boleh saya saksikan di kegelapan taman-taman bunga atau kesamaran jalan-jalan waktu senja. Sewaktu saya mengahadiri temuduga untuk masuk ke universiti, kasih sayang menjadi tajuk utama saya. Apabila ditanya kenapa saya memilih Ireland sebagai tempat pengajian, saya menjawab (dalam sedar atau tak ) bahawa saya tertarik dengan budaya ekspresi kasih sayang antara suami isteri warga tua di pulau itu. Panel-panel tergelak, saya tersengih. Rasanya seperti logik jawapan saya. Doktor pun harus ada perasaan yang dalam apabila menyebut tentang persoalan ini. Saya menyebut bahawa masyarakat Malaysia terutama Melayu jarang benar menonjolkan kasih sayang, terutama bagi pasangan suami isteri yang dah berumur. Secara umumnya, kita jarang menggunakan bahasa kasih sayang. Jarang bermesraan sesama ahli keluarga terutama di hadapan khalayak dan banyak lagi perkara tentang kasih sayang ini yang kita kadang-kadang lakukan. Tetapi, daripada sudut yang lain pula, kita dapat lihat bahawa generasi baru sangat terkehadapan dalam soal menyatakan rasa kasih sayang. Mana taknya, dalam iklan terbaru di kaca tv, seorang kanak-kanak sekolah rendah rancak bercerita tentang buah hatinya. Tak usah pergi jauh, lihat sekeliling kita sahaja. Elemen yang mana tidak menggalakkan percambahan satu nilai yang mulia ini ? Majalah, akhbar, drama, papan iklan dan segala macam lagi. Tetapi, alangkah sedihnya jika nilai ini disalah tafsirkan ke dalam masyarakat. Alangkah ruginya jika generasi baru ini silap mengertikan nilai kasih sayang ini. Mungkin salah tafsiran ini menjadi punca kepada kebejatan sosial yang kita hadapi lewat masa ini. Kasih sayang itu adakah batasannya ? jika ada, bagaimana memeliharanya di dalam ruang yang sepatutnya ? siapa yang mesti dikasihi , siapa pula yang boleh disayangi ? Kekaburan dan kekeliruan dalam memahami konteks kasih sayang bukanlah satu wabak yang terpencil, malah kian merebak hari demi hari. Iklan tersebut memang bagus, seperti kata umi saya,’ apa salahnya menonjolkan kasih sayang sesama suami isteri ?’. Tapi rasa meluat abah saya juga sepertinya wajar kerana kita sememangnya belum matang meskipun hanya untuk memahami konteks sebuah iklan...

No comments: